Monday, March 30, 2009

Panduan Penting Keselamatan Anak

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 11:34 PM 0 comments
Anak anda mungkin kelihatan tidak berdaya, tetapi sebenarnya mereka amat tangkas dan suka mencuba semua perkara tanpa mengetahui sama ada selamat atau berbahaya. Langkah berikut membantu anda menyediakan persekitaran selamat untuk si kecil kesayangan anda:


TIDUR YANG SELAMAT

1. Jangan merokok dalam bilik yang ada bayi sedang tidur.

2. Sentiasa tidurkan bayi dalam keadaan terlentang dan bukan meniarap atau mengiring. Jika bayi tidur meniarap, pastikan anda mengawasi posisinya daripada masalah tidak boleh bernafas.

3. Jangan biarkan anak terlalu panas. Biarkan kepalanya tanpa bertopi atau jangan guna bantal ketika tidur.

4. Tempat paling selamat untuk menidurkan bayi adalah di dalam katil bayi dan bersama anda di dalam bilik ketika enam bulan pertama usianya.



KESELAMATAN KETIKA BERMAIN


1. Pilih permainan yang bersesuaian mengikut peringkat usia anak.

2. Pastikan lantai bebas daripada sebarang alatan mainan sekiranya anak tidak bermain.

3. Pastikan mainan bersaiz kecil yang mudah tercekik dijauhi daripada anak anda.

4. Jangan letak kerusi enjut bayi pada paras yang boleh dicapai oleh anak kerana ia mungkin boleh menimpa diri mereka.




KESELAMATAN DI TEMPAT MAKAN

1. Sterilkan semua botol dan puting botol susu anak sehingga usianya setahun.

2. Jangan tinggalkan bayi makan atau minum sendirian.

3. Pastikan kerusi makannya kukuh dengan ciri-ciri keselamatan yang memuaskan hati.

4. Sentiasa sisihkan sisa makanan yang tidak dimakan daripada mangkuk bayi.

5. Periksa tarikh luput makanan bayi yang telah dibeli.

6. Jangan panaskan semula makanan bayi yang anda masak lebih daripada sekali.

7. Sesetengah makanan jejari bayi sangat berbahaya kerana bentuknya boleh membuatkan bayi tercekik. Anggur, sosej dan tomato ceri perlu dipotong kecil dan jangan beri si comel makan bertih jagung.




KESELAMATAN DI BILIK AIR

Suhu terbaik untuk memandikan bayi adalah antara 36 dan 38'C. Jangan gunakan lebih daripada 6-8cm air untuk mandikan bayi dan jangan sekali-kali tinggalkan bayi sendirian sementara anda mengambil tuala atau lampin seketika walaupun dia berada dalam besen mandian yang selamat. Bayi boleh lemas walaupun hanya dalam air sedalam 3cm. Jangan biarkan anak berdiri atau melompat ketika mandi.


KEDIAMAN YANG SELAMAT

1. Jangan tinggalkan bayi berseorangan tanpa pengawasan di atas katil walaupun hanya sesaat kerana kita tidak tahu bila mereka boleh berpusing dan akhirnya terjatuh.

2. Jangan gantung gambar atau sebarang perhiasan yang berat di atas katil bayi.

3. Tali pintal pada bidai boleh membahayakan si kecil terutama yang baru pandai berjalan. Jadi, pastikan mereka tidak dapat mencapainya.

4. Jauhkan katil bayi, kerusi dan lain-lain daripada tingkap.

5. Pilih alat kotak permainan yang mempunyai penutup melekat untuk mengelakkan penutup daripada terjatuh ke atas jari atau leher bayi.


Sediakan persekitaran yang selamat untuk si kecil anda! :)
 

PermataBonda Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal