Wednesday, January 28, 2009

Berapa Banyak Bayi Makan ?

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 12:20 AM 0 comments
Sumber: http://www.ratuhati.com/

Jika ditanya soalan ini, kebanyakan pakar kanak-kanak memberikan jawapan "Beri bayi anda makan sebanyak mana yang dia mahu" atau “Bayi anda tidak akan membiarkan dirinya kelaparan”.


Selagi bayi anda sihat, jangan risau jika dia makan terlalu sedikit atau terlalu banyak kerana bayi akan makan dalam jumlah yang diperlukannya. Jadi, tiada jumlah yang tepat berapa auns atau berapa gram makanan yang harus bayi makan. Selera makan bayi juga seperti orang dewasa, berlainan antara setiap bayi dan juga berubah-ubah mengikut masa. Berapa banyak makanan pejal yang bayi makan bergantung kepada banyak perkara.

  • Bayi yang mula makan makanan pejal seawal 4 bulan biasanya akan makan lebih makanan pejal berbanding bayi yang bermula pada usia 6 bulan.

  • Bayi yang makan makanan dilenyek sebagai makanan permulaan akan makan dengan kuantiti yang kurang berbanding bayi yang makan makanan puri.

  • Selain itu kuantiti makanan yang bayi ambil bergantung kepada selera mereka sendiri.

  • Bayi yang tidak sihat atau sedang tumbuh gigi mungkin makan kurang daripada hari biasanya makan untuk beberapa hari. Selepas itu seleranya akan kembali seperti biasa.

  • Bayi yang ‘sibuk’ bereksplorasi dengan karpet atau permainan barunya mungkin rasa tidak betah duduk di dalam highchairnya, menunggu suapan.

Apa yang perlu anda buat ialah, berikan bayi makanan yang berkhasiat. Anda juga boleh belajar bagaimana mengenal tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda berminat lagi untuk makan atau sebaliknya.


10 Cara Tanamkan Tabiat Pemakanan Sihat Pada Anak

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 12:07 AM 0 comments

Bina tabiat pemakanan yang sihat bermula daripada anak anda masih bayi lagi...

  • Jangan memberi bayi anda makan secara berlebihan. Perhatikan tindak balasnya apabila sudah kenyang.

  • Jangan memaksa bayi anda makan makanan yang tidak disukainya.

  • Hormati kesukaannya dan elakkan menggunakan kuasa anda sebagai ibu bapa untuk memaksanya.

  • Beri anak makanan yang seimbang daripada kelas protein, karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran.

  • Elakkan penggunaan gula dan garam sebelum umur setahun, dan selepas umur itu gunakan dengan kadar yang sederhana.

  • Elakkan makanan ringan selama yang boleh.

  • Jangan jadikan makanan sebagai hadiah. Sebaliknya lebihkan pelukan, ciuman dan perhatian terhadap kebaikan yang anak anda lakukan.

  • Beri anak anda makan di highchair atau di meja makan. Elakkan makan di hadapan televisyen atau sambil berjalan.

  • Tetapkan masa makan yang sama setiap hari.

  • Contoh melalui teladan. Anda sebagai ibu bapa perlulah mengamalkan pemakanan yang sihat supaya anak anda mencontohi anda kerana anak kecil mudah mengikut kelakuan orang dewasa.

Thursday, January 22, 2009

Cara Mandikan Bayi

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 8:49 PM 0 comments
Q1Sumber : http://www.kosmo.com.my/ oleh: Izyan Liyana Mohd Darif.

Bagaimanakah cara terbaik menguruskan bayi terutama kepada yang pertama kali bergelar ibu bapa?
KEPADA pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata, terlalu banyak perkara dan persediaan yang perlu dilakukan. Bermula daripada barangan bayi, bilik, kos rawatan, makanan dan sebagainya. Sebaik si ibu selamat melahirkan anak, maka bermulalah fasa baru dalam kehidupan suami isteri.

"Kebanyakan individu yang pertama kali bergelar ibu bapa, berasa cemas dan kelam-kabut dalam menguruskan bayi. Ini termasuklah cara penyusuan, menukar lampin dan memandikan bayi.



"Jika diperhatikan, ibu lebih berasa selesa dan selamat sekiranya orang lebih dewasa yang memandikan bayi mereka. Apatah lagi, jika tali pusat bayi masih belum tanggal," jelas Jururawat Kaunselor Penyusuan Susu Ibu, Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Norhayati Ahmad. Tambah beliau, antara tujuan utama membersihkan bayi adalah untuk memberi keselesaan, ketenangan dan mengelakkan infeksi.

Proses mandian perlu dilakukan dengan cara yang betul dan selamat. Mengapa? Ia bagi mengelakkan bayi mengalami kecederaan yang tidak diingini seperti telinga dan hidung dimasuki air atau kulit bayi melecur.

Sebelum memandikan bayi, isikan air suam dalam bekas mandian. Periksa suhu kehangatan air tersebut dengan menggunakan siku. Jangan sesekali menggunakan air sejuk kerana ia boleh menyebabkan suhu badan bayi menurun atau hipotermia.

"Daya ketahanan bayi tidak kuat dan masih lemah. Jika dimandikan dengan air sejuk, ia akan membuatkan bayi terkejut, badannya menjadi biru dan juga berisiko mendapat penyakit sawan. "Jangan memandang remah tentang proses mandian bayi. Selain menggunakan air suam, ibu bapa juga disaran supaya tidak memasang kipas dan membuka tingkap. Alasannya masih sama supaya bayi tidak berasa sejuk. "Bukan itu sahaja, waktu yang paling sesuai untuk memandikan bayi pula, sekitar pukul 10 pagi dan pukul 5 petang," jelas beliau.
SEMASA mandi jangan lupa bersihkan di bahagian lipatan leher, paha dan ketiak. Jangan biarkan bayi dalam keadaan bogel. Sebaik-baiknya bedung bayi menggunakan napkin atau kain khas supaya bayi tidak berasa sejuk.
_______________________________________________

Langkah pertama:
Cuci muka bayi menggunakan kapas atau sapu tangan yang telah dicelupkan dalam air suam. Lap di bahagian mata terlebih dahulu.

Langkah kedua:
Bersihkan kepala bayi. Kepit telinga bayi supaya tidak dimasuki air. Letakkan sedikit syampu dan gosok kepala bayi dengan lembut.




Ketika proses ini juga, sikat rambut bayi supaya dapat menanggalkan lendir yang melekat.



Kemudian, keringkan rambut bayi sebelum proses membersihkan bahagian badan.


Langkah ketiga:

Siram bayi sedikit demi sedikit. Gosok badan bayi dengan menggunakan sabun mandian bayi. Pastikan anda bersihkan di bahagian lipatan seperti leher, ketiak, paha, kaki dan punggung. Akhir sekali bilas bayi dengan bersih dan lap sampai kering.


Langkah keempat:


Bagi bayi yang masih belum tertanggal tali pusat, anda perlu membersihkan tali pusat, sebelum memakaikan baju. Gunakan kapas bersih bersama air suam atau ubat cucian tali pusat. Bersihkan tali pusat dari atas ke bawah. Kemudian, lap di sekeliling pusat dan selepas itu bersihkan klip tali pusat. Pastikan tali pusat sentiasa kering dan bersih. Jangan sapukan tali pusat dengan sebarangan minyak, bedak, ubat atau pelembap yang tidak disarankan oleh doktor.

Selesai bayi dibersihkan, disapukan bedak dan losen serta dipakaikan baju, ibu diwajibkan menyusukan bayi. Ini kerana bayi akan berasa lapar selepas proses mandian.

Penyusuan Susu Ibu Dari Pandangan Islam

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 9:27 AM 0 comments


Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia ini, dia memerlukan ibunya. Bayi itu perlu diberi makanan yang diserap melalui darah ibunya semasa di dalam kandungan. Makanan ini telah ditukar dengan kehendak dan kuasa Allah kepada susu yang mengandungi semua kandungan penting dan perlu untuk tumbesaran bayi itu. Al-Quran ada menyebut tentang penyusuan ibu dan perhubungan antara bayi dan ibu susunya iaitu apabila ibunya tidak dapat menyusu dengan sebab-sebab tertentu maka ibu susu diupah untuk menyusuinya.

"Dan Ibu-Ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama

dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu"

Dari ayat di atas (AL-BAQARAH:233) kita dapat pendirian berikut:

PERTAMA:

Adalah kewajipan ibu untuk menyusui bayinya dan meyempurnakan haknya untuk menikmati dan mendapat kebaikan susu ibu, jika dia mampu.

KEDUA:

Tempoh penyusuan susu ibu bagi mereka yang ingin memenuhinya ialah dua tahun.

"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya: dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika kedua-duanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang dapat dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah(melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut."

KETIGA:

Bapa sepatutnya membantu ibu yang sedang menyusu dengan menyediakan keadaan yang ibu itu perlukan untuk menyusu. Ini menunjukkan yang Islam menganggap penyusuan susu ibu itu sebagai kewajipan utama yang ibu patut laksanakan. Disini, ibu tidak patut dibebani dengan kerja yang lain. Adalah jelas si sini bahawa al-Quran sudah menjelaskan hak ibu yang sedang menyusu.

KEEMPAT:

Jika bapa tiada atau sudah meninggal dunia, salah seorang ahli keluarga harus mengambik alih tanggunggjawab terhadap bayi dan ibu untuknya terus menyusu.

KELIMA:

Menceraikan susu adalah dibenarkan sebelum tamat tempoh dua tahun dengan syarat. Keputusan ini dibuat setelah mendapat persetujuan kedua-dua ibu dan bapa, setelah mereka membincangkan kebaikan dan keburukan keputusan yang dibuat serta cara untuk memberi penjagaan yang rapi kepada anak.

KEENAM:

Ibu yang mampu dan boleh menyusui bayinya adalah digalakkan mengupah orang lain untuk menyusui bayinya. Islam memerintahkan bapa untuk memberi upah kepada ibu yang meyusukan anaknya. Dengan cara ini, Islam memastikan anak itu mendapat segala keperluannya dalam tempoh penyusuan itu.

Allah telah memenuhi segala keperluan bayi. Kolestrom yang terhasil walaupun dalam kuantiti yang kecil sudah cukup untuk memenuhi segala keperluan makanan bayi dalam hari-hari pertama kehidupannya. Dalam masa 24 jam ibu boleh menghasilkan susu yang diperlukan untuk makanan bayi sehinggalah dia bercerai susu.

SubhanaAllah, Maha Besar CiptaanNya...

Mama, Susu Mama Sedaplah

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 4:51 AM 0 comments
Susahnya nak saya terangkan kepada orang dewasa betapa lazatnya susu Mama. Rasanya manis tapi tak manis sangat. Kadang-kadang rasanya cair..emm sungguh menghilangkan dahaga.. kadang-kadang rasanya pekat.. sungguh mengenyangkan. Tapi saya nie cerewet orangnya.. saya suka minum sedikit demi sedikit tapi selalulah saya minta dengan Mama nak minum susu. Tapi Mama tak kisah..saya pun lagi suka sebab rasa sungguh selamat bila berada dalam dakapan Mama. Lagi satu yang saya suka tentang susu Mama.. bila diminum terasa suam-suam macam baru lepas dimasak, emm..sungguh segar. Kawan-kawan sekalian, minumlah susu Mama masing-masing kerana nikmatnya tiada dapat diungkap dengan kata-kata...Terima kasih Mama..


Lilypie Breastfeeding Ticker

Monday, January 19, 2009

Petua Atasi Masalah Jaundis/Kuning

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 8:12 PM 0 comments
Assalamualaikum wbt...

"Kegembiraan melahirkan anak pertama bertukar menjadi kerisauan apabila bayiku yang baru lahir mengalami jaundis. Kami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan darah. Rasa sedih tidak terkata tatkala bayiku menjerit kesakitan setiap kali disuntik jarum bagi mengambil darahnya..."


Petua yang saya amalkan:

1. Mandikan bayi dengan air rebusan daun inai dan pucuk jambu batu. Amalkan 3 kali mandi.

2.Beri bayi minum air suam + ubat homopati (khas untuk bayi yang jaundis) + satu sudu teh madu. Bagi bayi minum 2 kali sehari. Ibu pun boleh makan ubat homopati juga (khas untuk ibu yang anaknya jaundis).

3. Susukan bayi sejam sekali.

4. Jemur bayi tapi ada panduannya,tak boleh jemur sesuka hati,nantikan post yang akan datang untuk tahu cara yang betul menjemur bayi yang jaundis.

Petua lain:

1. Bayi diberi minum air perahan sengkuang cina. Beberapa biji sengkuang cina diparut dan diambil airnya. Beri bayi minum air perahan tersebut sebanyak satu sudu kecil sekali setiap pagi.

2. Ambil setengah biji halwa kundur dan campurkan bersama air suam kosong.Beri anak anda minum dua kali sehari.

3. Ambil beberapa batang pokok dukung anak. Kemudian rebuskan pokok ini. Tunggu sehingga air rebusan benar-benar suam dan mandikan bayi anda setiap pagi dan petang. Lakukan sehingga tiga atau empat hari.

Selamat mencuba!
Insya-ALLAH, jaundis akan segera hilang jika diamalkan selalu & Jangan lupa Banyakkan Doa!

Salam Perkenalan...

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 7:37 PM 1 comments
Assalamualaikum wbt...

Salam Perkenalan buat semua..

Saya menulis Blog PermataBonda ini untuk berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu keibubapaan yang diperolehi hasil daripada pembacaan dan pengalaman. Alhamdulillah saya telah dikurniakan putera sulong yang diberi nama Muhammad Irfan bin Siddig pada 30 April 2008. Pelbagai majalah,buku dan artikel yang berkaitan dengan anak telah saya kumpulkan untuk dijadikan panduan.

Semoga apa yang saya tulis,sedikit sebanyak dapat memberi informasi buat semua terutamanya kepada insan yang 1st time jadi Mama/Umi/Ibu/Emak/Mummy/Mek....

Jumpa Lagi!
Nur Amirah Mohd Rashid
2009

Sunday, January 18, 2009

Kanak-kanak Belajar Daripada Keadaan Hidupnya Sendiri

Posted by PN. NUR AMIRAH BINTI MOHD RASHID at 10:33 PM 0 comments
Jika kanak-kanak hidup selalau dikritik,
Dia belajar mengutuk.

Jika kanak-kanak hidup dalam permusuhan,
Dia belajar berkelahi.

Jika kanak-kanak hidup selalu diketawakan,
Dia menjadi pemalu.

Jika kanak-kanak selalu dihina,
Dia berasa bersalah.

Jika kanak-kanak hidup selalu bertolak ansur,
Dia belajar bersikap sabar.

Jika kanak-kanak selalu mendapat galakan,
Dia belajar yakin kepada diri sendiri.

Jika kanak-kanak selalu mendapat pujian,
Dia belajar menilai sesuatu.

Jika kanak-kanak hidup dalam kejujuran,
Dia belajar bersikap adil.

Jika kanak-kanak hidup dalam keadaan selamat,
Dia belajar menaruh kepercayaan.

Jika kanak-kanak hidup dengan persetujuan,
Dia belajar sukakan dirinya sendiri.

Jika kanak-kanak hidup dengan penerimaan dan persahabatan,
Dia belajar mencari kasih sayang dalam dunia ini.

Semoga kata-kata ini memberi manfaat untuk insan bergelar "Mama"..
 

PermataBonda Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal